Pegawai Staf Operasi Markas Wilayah Laut 1 Pangkalan TLDM Tanjung Gelang, Leftenan Komander Ahmad Zaki Ismail berkata, pihaknya belayar ke pulau peranginan itu menggunakan kapal KD Terengganu kira-kira pukul 9 malam tadi dan tiba di situ pukul 7.55 pagi ini.


“Mengikut kapasiti maksimum di KD Terengganu, kami akan membawa keluar 123 pelancong.

“Kami dijadual bertolak dari pulau peranginan ni ke jeti Pangkalan TLDM Tanjung Gelang kira-kira puku12 tengah hari ini dan dijangka tiba pukul 8 malam ini,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.


Menurut Ahmad Zaki, baki pelancong yang terkandas akan dibawa keluar menaiki feri berdasarkan keadaan semasa cuaca dan laut yang membolehkan berbuat demikian.


Bagaimanapun, katanya, jika keadaan masih tidak mengizinkan, mereka akan berpatah balik ke Pulau Tioman untuk membawa keluar baki pelancong.


Tambahnya, selain membawa keluar pelancong, KD Terengganu juga menghantar barangan keperluan harian seperti beras dan minyak masak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana penduduk di situ terputus bekalan.


Kira-kira 500 pelancong dilaporkan terkandas di Pulau Tioman berikutan cuaca buruk dan ombak besar sejak Ahad lalu. -UTUSAN ONLINE