ISMAIL ABD. MUTTALIB

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ismail Abd. Muttalib berkata, berdasarkan siasatan awal, berkemungkinan berpunca daripada masalah kejuruteraan kren terbabit.

“Kita belum dapat buat sebarang pengesahan mengenai punca kejadian tetapi jika berlaku kecuaian, tindakan boleh dikenakan mengikut Ak­ta Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan 1994. Pesalah boleh dikenakan hukuman denda RM50,000 atau penjara dua tahun dan di bawah Akta Kilang dan Jentera 1967 boleh dikenakan kompaun maksimum RM250,000 atau penjara dua tahun.

“Kita akan meneliti laporan siasatan terlebih dahulu sebelum mendapat nasihat daripada penasihat undang-undang kita bagi memutuskan tindakan yang wajar diambil,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis penyerahan wang ihsan banjir monsun timur laut Parlimen Maran di Dewan Arena Chenor, di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Shahaniza Shamsuddin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenor, Datuk Mohd. Arifin Awang Ismail dan ADUN Luit, Nurhidayah Mohd. Shahaimi.

Semalam, tiga termasuk dua wanita cedera dalam kejadian kren tumbang di sebuah tapak projek pembinaan milik UDA Holdings Berhad (UDA) di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Seorang daripada mangsa yang cedera dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang itu merupakan pekerja pembinaan manakala dua mangsa wanita kebetulan berada di kawasan tersebut.

Ismail berkata, pegawai Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) turun padang sejak semalam bagi melakukan siasatan secara menyeluruh yang dijangka siap dalam tempoh terdekat.

“Pada masa, pegawai JKKP sedang giat melakukan siasatan termasuklah mengambil sampel untuk dihantar ke makmal, mengambil dokumen dan juga mengambil kenyataan daripada saksi-saksi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kementeriannya melalui JKKP me­netapkan peraturan dan prosedur yang mesti dipatuhi termasuk aspek ke­selamatan.

Jelasnya, selain dikendalikan mengikut prosedur ditetapkan, majikan juga perlu memastikan pengendali kren mempunyai kelayakan dan tidak menggunakan perkhidmatan warga asing serta mempunyai pegawai keselamatan dan kesihatan.

“Saya ingin mengingatkan kepada semua majikan supaya jangan hanya memikirkan keuntungan tetapi memastikan aspek keselamatan dan kesihatan dipatuhi dengan mengikuti prosedur dan peraturan ditetapkan,” katanya.