Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Mantin, Mohd. Hidayat Basly berkata, kebakaran itu berlaku kira-kira pukul 1.40 petang tadi.

"Tiga unit pangsapuri itu terletak di dua blok berlainan. Kediaman itu tidak berpenghuni dan hanya terdapat perabot usang serta sampah sarap di dalamnya.

"Kebakaran dipercayai angkara perbuatan khianat kerana siasatan mendapati tiada sumber api termasuk elektrik dalam unit pangsapuri terbabit yang boleh menyebabkan kebakaran," katanya, di sini hari ini.

Mohd. Hidayat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 1.48 petang dan tiba di lokasi kejadian kira-kira tujuh minit kemudian.

Menurut beliau, seramai empat pegawai dan 12 anggota bersama empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Mantin serta Seremban dikerahkan memadamkan kebakaran itu.

Katanya, pintu ketiga-tiga pangsapuri tidak berkunci apabila bomba tiba dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya dalam tempoh kira-kira 20 minit. - UTUSAN ONLINE