Pengarah Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Hussin berkata, penutupan ini melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Raja dan SK Kampung Shukor di Dungun yang ditenggelami air, manakala SK Padang Kubu, Kemaman pula terputus hubungan.

Katanya, setakat pukul 8 malam ini, penutupan membabitkan keseluruhan 400 murid, 56 guru dan 17 AKP.

"Daripada jumlah itu, 63 murid dan 17 guru dari SK Pasir Akar manakala SK Kampung Shukor (73 murid, 13 guru) dan SK Padang Kubu (264 murid, 26 guru)," katanya dalam kenyataan, di sini malam ini.

Sementara itu seramai 55 orang daripada 20 keluarga terpaksa ditempatkan di dua pusat pemindahan di kawasan pedalaman daerah Dungun.

Empat keluarga berada di pusat pemindahan Dewan Orang Ramai Pasir Raja yang dibuka pada pukul 5.30 petang ini manakala 16 keluarga di Dewan Orang Ramai Kampung Shukor.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah memberitahu, hujan sederhama dan sesekali lebat masih berterusan. - UTUSAN ONLINE