Difahamkan, gurauan itu dibuat ketika mangsa meminta salah seorang anak saudaranya mengurut kakinya yang sakit ketika menghadiri satu majlis perjumpaan keluarga, Sabtu lalu.

Adik ipar mangsa, Tengku Anitawati Tuan Mat, 47, berkata, kebanyakan ahli keluarga terdengar gurauan tersebut namun tidak menyangka itu adalah petanda bahawa mangsa akan pergi meninggalkan mereka selama-lamanya.

“Kami sekeluarga memang sangat rapat dan selalu berkumpul dalam satu majlis makan bersama. Saya tidak sangka itu adalah perjumpaan kali terakhir kami sekeluarga bersama keluar­ga arwah.

“Saya sendiri terdengar ar­wah berseloroh ‘saya mungkin dah nak mati' ketika menyuruh anak saudara mengurut kakinya memandangkan dia mempunyai masalah gout. Isterinya marah kerana bergurau macam itu,” katanya ketika ditemui di Hospital Machang di sini hari ini.

Menurut Tengku Anitawati, tiga sekeluarga itu akan dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kusial Baru, Tanah Merah hari ini.

Dalam kejadian pukul 12.30 tengah malam, Shaikh Rahim, isterinya, Tengku Fariza Tuan Mat, 52, dan anak mereka Siti Nur Alyaa Izzati, 23, maut selepas Perodua Alza dinaiki mereka bertembung dengan sebuah Mitsubishi Triton.

Tiga sekeluarga berkenaan dikatakan baharu pulang daripada menghadiri majlis perkahwinan saudara-mara.

Ketua Polis daerah, Deputi Superintenden Dzulkifli Ab. Ghani berkata, Shaikh Rahim dan Siti Nur Alyaa Izzati maut di lokasi kejadian manakala Tengku Fariza meninggal dunia selepas tiba di Hospital Machang.

“Hasil siasatan awal mendapati, sejurus tiba di lokasi kejadian, kenderaan Mitsubishi Triton dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung secara berdepan de­ngan kenderaan dinaiki mang­sa sehingga menyebabkannya berpusing dan terbalik.

“Pemandu Triton berusia 27 tahun mengalami kecederaan dan kini dirawat di Hospital Machang,” katanya sambil memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.