Kejadian berlaku di Kilometer 307 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara di sini pada pukul 9.30 pagi menyebabkan tiga daripada lima sekeluarga yang menaiki kereta jenis Toyota Vios maut di tempat kejadian.

Kejadian itu menyebabkan ke­semua penumpang belakang kereta tersebut iaitu Cheah Yook Ching, 57; isteri, Yee Kim Nyuk, 53 dan kakak Yook Ching, Cheah Chui Yoong, 60, maut di tempat kejadian.

Dua lagi mangsa iaitu pemandu dan juga anak saudara Yook Ching, Bryan Cheah Ern-Li, 24, serta bapanya, Cheah Chee Voon, 61, yang duduk di bahagian hadapan penumpang kenderaan itu mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Kampar untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Ng Kong Soon berkata, sewaktu kejadian, kereta dinaiki kelima-lima mangsa itu dalam perjalanan menghala dari arah Kuala Lumpur ke Ipoh.

Menurutnya, apabila tiba di lokasi kejadian, kereta Toyota Vios itu mengalami tayar pecah di bahagian belakang kiri lalu terbabas melanggar pembahagi jalan di sebelah kiri.

“Kereta itu berpusing beberapa kali dan masuk kembali ke lorong laju. Kemudian, bas ekspres yang datang dari arah belakang gagal mengelak lalu melanggar kende­raan tersebut.

“Ekoran kemalangan itu, tiga penumpang Toyota Vios berkenaan tercampak keluar dari kenderaan dan disahkan maut di tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Kong Soon berkata, pemandu serta pembantu pemandu bas ekspres terbabit bagaimanapun selamat dalam kemalangan berkenaan.

Menurutnya, 16 penumpang bas itu yang berusia antara 11 hingga 39 tahun tidak mengalami kecede­raan.