Ini kerana dua daripada mereka iaitu Nur Fitrah Rosman, 24, (pemandu Perodua Alza) dan Nurbaya Mohd. Zaki, 24,(penumpang) merupakan sahabat karib pengantin perempuan memandangkan mereka pernah belajar bersama di Politeknik Ungku Omar, Perak sebelum ini.

Seorang rakan mereka yang tidak mahu dikenali memberitahu, mereka dalam perjalanan ke Shah Alam untuk berkumpul di sana pada malam ini bersama-sama rakan Politeknik yang lain sebelum pergi beramai-ramai ke majlis tersebut keesokan harinya.

“Pertemuan ini sepatutnya menjadi seperti ‘reunion’ kami yang sama-sama belajar di Politeknik Ungku Omar sebelum ini.

“Terkejut juga apabila mendapat berita ini, tak sampai hajat untuk berjumpa mereka,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh di sini malam ini.

Kemalangan yang berlaku pada pukul 12.15 tengah hari tersebut turut mengorbankan seorang lagi rakan mereka iaitu Mohamad Hafiz Shahrul Jefri Din, 24, yang turut menaiki kereta Perodua Alza serta seorang pemandu Toyota Vellfire, Noorakhirludin Alam Mohammad Noor, 48.

Sementara itu, bapa saudara kepada pengantin perempuan, Saniman Akas, 64, berkata, anak saudaranya, Husnul Qhatimah Ahsanulhaq, 24, pengsan apabila mengetahui berita kemalangan tersebut petang tadi.

Menurutnya, Husnul Qhatimah dan Fitrah sememangnya kawan baik sejak belajar lagi dan dia ada mengatakan mahu datang ke majlis perkahwinan ini sebolehnya.

“Saya hadir ke hospital ini bagi mewakili pihak tuan rumah yang tidak dapat hadir kerana majlis persandingan berlangsung pada malam ini. Semasa saya datang tadi Husnul Qhatimah masih lagi menangis kesedihan di dalam bilik,” katanya.- UTUSAN ONLINE