Dalam kejadian kira-kira pada pukul 6.30 pagi itu, tongkang yang berlabuh berhampiran kawasan perkampungan tersebut dipercayai dihanyutkan ombak ketika air pasang sebelum merempuh tiga buah rumah berkenaan.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, kejadian itu disyaki berlaku ketika fenomena angin kencang dan laut bergelora mengakibatkan sebanyak 25 penghuni di tiga rumah tersebut hilang tempat tinggal.

Menurutnya, kejadian itu bagaimanapun tidak melibatkan kemalangan jiwa.

“Hasil siasatan awal mendapati seorang penghuni yang berada di dalam rumah pada ketika itu terdengar bunyi hentakkan kuat dan selepas membuat pemeriksaan dia mendapati sebuah tongkang telah merempuh bahagian tiang menyebabkan rumahnya bergoyang.

“Bimbang akan keselamatan diri, mangsa dan kesemua penghuni lain bertindak keluar sebelum rumah berkenaan ranap dan hanyut dibawa arus,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Fadil memberitahu, hasil siasatan lanjut mendapati, tongkang tersebut berlabuh kira-kira 1.8 kilometer dari tempat kejadian sebelum dihanyutkan angin kencang.

“Semasa kejadian, juragan tongkang yang bertanggungjawab sedang tidur dan hanya menyedari tongkang berkenaan menghampiri kawasan perumahan terbabit selepas mendengar beberapa pemilik bot lain membunyikan hon sebagai tanda amaran.

“Bagaimanapun juragan itu tidak sempat mengemudi tongkang sehingga hanyut melanggar rumah berkenaan,” katanya.