ANGGOTA Jabatan Bomba dan Penyelamat melakukan semburan air pada pokok kelapa sawit yang terbakar di
ANGGOTA Jabatan Bomba dan Penyelamat melakukan semburan air pada pokok kelapa sawit yang terbakar.-UTUSAN ONLINE / MOHD. HUSSAIRY SIDEK

Dalam kejadian pada pukul 12.40 tengah hari itu, salah seorang pemilik rumah terbabit berusia 30 tahun tidak menyedari pokok kelapa sawit setinggi 4.57 meter terletak hanya lima meter bersebelahan kediamannya telah terbakar hingga ke bahagian pucuk.

Difahamkan, mangsa sebelum kejadian sedang membersihkan kawasan sekitar rumahnya termasuk membakar sampah berhampiran pokok kelapa sawit terbabit.

Bagaimanapun, api daripada pembakaran sampah itu telah menyambar pelepah pokok kelapa sawit berkenaan akibat keadaan angin yang kuat ketika itu.

Bagaimanapun, mangsa dikatakan cuba memadamkan api dengan menggunakan semburan paip air tapi tidak berjaya disebabkan api merebak terlalu pantas sebelum dia meminta bantuan pihak bomba.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor, Mohd. Sahimi Fauzi berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berkenaan pada pukul 12.45 tengah hari.

Katanya, seramai lapan pegawai dan anggota dengan kekuatan sebuah jentera FRT digerakkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik sampai, operasi pemadaman dilakukan menggunakan satu saliran dari tangki air jentera dan api dapat dipadamkan sepenuhnya kira-kira 20 minit kemudian,” katanya yang turut memaklumkan tiada kemalangan jiwa dilaporkan ekoran kejadian itu. - UTUSAN ONLINE.