Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd. Sani Harul berkata, remaja berusia antara 16 tahun dan 18 tahun ditemui di kawasan hutan bersebelahan Tasik Ampangan pada pukul 2.34 pagi, tanpa sebarang kecederaan.


Katanya, pihaknya menerima panggilan daripada rakan mangsa memaklumkan perkara itu pada pukul 10.02 malam. 


“Tiga remaja itu dipercayai sesat di dalam kawasan hutan bukit berkenaan selepas gagal dihubungi sejak pukul 7.22 malam semalam.


“Sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ampang digerakkan ke lokasi bagi mencari mangsa dan operasi itu turut disertai Jabatan Perhutanan, polis, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


Tambahnya, mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis dan Jabatan Perhutanan untuk tindakan lanjut. - UTUSAN ONLINE