Dalam kejadian pada pukul 2.10 petang itu, pemandu van sekolah berusia 52 tahun membawa 10 pelajar untuk dihantar ke sekolah agama sebelum terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta Nissan Cefiro dipandu seorang lelaki berusia 32 tahun.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, kemalangan berlaku apabila pemandu van sekolah dari arah Taman Melur menghala ke Taman Teratai telah membelok ke kanan dan pemandu Nissan Cefiro yang berada di laluan lurus tidak sempat mengelak seterusnya melanggar bahagian belakang van.

“Hasil siasatan mendapati kemalangan ini berlaku akibat pemandu van cuai keluar masuk simpang tanpa memberi laluan kepada kenderaan yang berada di laluan lurus.

“Akibat daripada perlanggaran itu, tiga pelajar sekolah yang berada di tempat duduk belakang mengalami kecederaan ringan iaitu luka kerana terkena serpihan kaca tingkap van. Tiada kecederaan serius dilaporkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Hamzah, kedua-dua pemandu telah membuat laporan polis dan saman telah dikeluarkan ke atas pemandu van atas kesalahan di bawah Peraturan 3(2)(B) LN166/59 iaitu cuai keluar masuk simpang. - UTUSAN ONLINE