Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia, Hal Ehwal Pengguna dan Integrasi Nasional negeri, A. Sivanesan berkata, ketiga-tiga murid tahun dua itu dirawat Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini dan seorang daripada mereka telah dibenarkan pulang hari ini.

Menurutnya, laporan awal pihak hospital mengesahkan dua daripada murid tersebut masing-masing melecur empat dan lima peratus manakala seorang lagi melecur 17 peratus anggota badan.

"Murid yang mengalami melecur kulit empat peratus telah dibenarkan pulang hari ini manakala seorang lagi yang melecur lima peratus semakin pulih dan masih dirawat.

"Mangsa yang melecur paling teruk iaitu 17 peratus telah menjalani pembedahan kulit hari ini dan pembedahan susulan akan dijalankan dalam tempoh terdekat kerana beberapa bahagian kulitnya telah rosak," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat seorang daripada mangsa yang melecur di HRPB di sini hari ini.

Sementara itu, mengenai laporan bahawa bapa kepada salah seorang mangsa yang mendakwa kejadian itu disebabkan kecuaian guru, Sivanesan berkata, kerajaan negeri menyerahkan kepada pihak polis untuk menyiasat punca kejadian tersebut.

Menurutnya, buat masa ini beliau menasihatkan ahli keluarga mangsa supaya memberi tumpuan kepada proses pemulihan anak-anak mereka.

"Selepas pihak hospital mengeluarkan laporan penuh kesihatan mangsa, ibu bapa boleh mengambil tindakan undang-undang jika berlaku percanggahan maklumat mengenai kejadian tersebut," katanya. - UTUSAN ONLINE