Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Habibi Majinji berkata, mangsa Mohd. Diman Fadillah Kamis, 31, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Pegawai Perubatan dari Hospital Likas.

Beliau berkata berdasarkan keterangan saksi, kemalangan berlaku apabila mangsa dipercayai cuba menguji kelajuan dengan membuat satu pusingan dari arah lampu isyarat UMS menuju ke lampu isyarat Indah Permai.

“Apabila sampai di Jalan Sulaman berdekatan lampu isyarat UMS, mangsa telah dilanggar oleh dua buah motosikal lain sebelum kedua-dua motosikal itu meninggalkan tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Habibi meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian itu agar tampil membantu siasatan atau menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Ngang Ak Kalimpot di talian 017-8083272 dan kes disiasat di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987. - BERNAMA