Cuaca yang buruk, memaksa penutupan beberapa lebuh raya dan mengakibatkan kesesakan trafik di jalan-jalan raya lain.

Wilayah North Rhine-Westphalia yang turut meliputi bandar Cologne dan Dusseldorf, merekod 300 kemalangan jalan raya malam kelmarin dan pagi semalam.

Pengangkutan awam di beberapa bahagian juga terpaksa dihentikan dan polis menasihatkan orang ramai tidak melakukan perjalanan sekiranya tidak perlu.

Kesesakan lalu lintas di North Rhine-Westphalia mengakibatkan seorang maut dan 40 yang lain cedera, sementara di Bavaria, dua lagi terbunuh di jalan raya yang dilitupi ais.

Penerbangan di beberapa lapangan terbang turut dibatalkan atau ditangguh.

Turut terjejas adalah perkhidmatan bas di utara bandar Rostock, selain pertandingan sukan yang terpaksa ditangguh ekoran salji tebal sehingga 30 sentimeter.

Polis memberi amaran, pemandu kenderaan yang terkandas mungkin terpaksa menunggu berjam-jam sebelum diselamatkan.

Walaupun dilanda salji tebal, rakyat Jerman masih meneruskan aktiviti hujung minggu mereka.

Di Hamburg, beratus-ratus keluarga bermain luncur ais di Tasik Alster yang beku, yang disifatkan pakar kaji cuaca sebagai fenomena luar biasa. - Agensi