HAZNAH ALI
HAZNAH ALI

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.15 pagi itu, Weaam Lukman, 8 bulan dan kakaknya, Wedad Abdullah, 2, serta seorang lagi mang­sa, Haznah Ali, 59, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan dalaman dialami.

Ketua Polis daerah, Superintenden Mohd. Said Ibrahim berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila kereta Proton Wira dipandu oleh Lukman Waeni, 31, seorang warga Thailand yang datang dari arah Kuantan menuju ke Kuala Terengganu berhenti di bahu kiri jalan untuk berehat.

Menurutnya, sebuah kereta Perodua Axia yang dinaiki oleh seorang lagi mangsa yang maut (Haznah) bersama tiga lagi penumpang tiba-tiba merempuh belakang kereta berkenaan.

“Akibat pelanggaran itu, ke­dua-dua beradik yang duduk di bahagian belakang Proton Wira bersama ibunya tercampak keluar.

“Seorang lagi mangsa wanita yang duduk di bahagian belakang kereta Perodua Axia turut me­ngalami kecederaan dan telah dikeluarkan oleh orang ramai yang berada di lokasi kejadian,” katanya.

Menurut Mohd. Said, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Kesemua mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk proses bedah siasat dan urusan pengebumian manakala kesemua mangsa yang cedera dilaporkan stabil.

Dalam pada itu, seorang saksi, Zamri Zaaba, 37, memberitahu, ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang dari Kuantan, Pahang me­nuju ke Paka dan setibanya di lokasi dia terus keluar untuk membantu mangsa yang berada di dalam ke­dua-dua kenderaan tersebut.

“Keadaan memang kelam kabut dengan orang ramai berhenti untuk membantu dan pada masa itu wanita yang maut masih di dalam kereta sementara mayat dua beradik telah dialihkan ke tepi jalan,” katanya.