Dalam kejadian pukul 5 petang itu, penumpang hadapan Proton Saga, Ibrahim Mat Rifin, 61, bersama isterinya, Mahani Mohd. Nasir, 58, dan anak pe­rem­puannya, Rosinani, 35, meninggal dunia.

Seorang lagi anak perem­puan mangsa, Nur Farain, 26, yang merupakan pemandu kenderaan terbabit cedera parah.

Kesemua mereka dalam perjalanan pulang ke kediaman mereka di Taman Temerloh Jaya, Temerloh, Pahang.

Tiga lelaki menaiki Proton Wira yang bertembung dengan kereta mangsa iaitu pemandunya, Mohamad Faris Junuh, 22, serta dua penumpang, Muhamad Nurazman Nordin, 19, dan Mohamad Izwan Mohd. Zulkifli, 21, turut cedera.

Kesemua tiga lelaki itu berasal dari Rancangan Kemajuan Tanah RKT Paloh 1 di sini.

Ketua Polis daerah, Superintenden Mohd. Taufik Maidin berkata, kemalangan berlaku apabila kereta Proton Saga yang dipandu Nur Farain yang datang dari arah Kuala Krai ke Gua Musang secara tiba-tiba memotong kenderaan di hadapannya dan masuk ke laluan bertentangan.

Menurutnya, kereta itu berlanggar secara berhadapan de­ngan sebuah lagi kenderaan Proton Wira yang datang dari arah Gua Musang.

Ujarnya, akibat kejadian itu, sepasang suami isteri telah meninggal di lokasi kejadian, manakala seorang lagi anak pe­rempuannya meninggal di Hospital Gua Musang selepas 12 jam kemalangan.

“Anak perempuan mangsa meninggal dunia kira-kira 5.15 pagi ini di hospital akibat kece­deraan parah yang dialaminya.

“Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Gua Musang untuk rawatan dan proses bedah siasat,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Tambah Taufik, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.