Kejadian yang berlaku pukul 6.30 petang itu menyebabkan S. Murugan, 45, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis daerah, Superintenden Ng Kong Soon berkata, kejadian berlaku ketika kenderaan jenis utiliti sukan (SUV) dipandu seorang juruteknik berusia 36 tahun, hilang kawalan kerana melanggar lopak air sebelum terbabas ke kiri jalan lalu merempuh kereta Peugeot milik pesara berkenaan.

“SUV tersebut kemudian berpusing dan melanggar mangsa serta kereta jenis Proton Wira miliknya yang berhenti di depan kereta Peugeot ber­kenaan,” katanya di sini hari ini.

Tambah beliau, pesara dan juruteknik tersebut tidak mengalami kecederaan. Sementara itu, di Manjung, seorang maut dan dua lagi cedera selepas kereta Proton Wira dinaiki mereka memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh sebuah lori di Kampung Batu 14, Lekir, pukul 4 pagi ini.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Tengku Mohd. Zailan Tengku Ahmad Shah berkata, mangsa yang maut ialah penumpang hadapan kereta berkenaan sementara pemandu dan seorang lagi penumpang di bahagian belakang, masing-masing cedera di kepala dan patah tangan kanan.

Dalam pada itu, di Tapah, seorang lelaki maut selepas kereta jenis Proton Viva yang dipandunya merempuh sebuah kenderaan lain di Kilometer 324.3 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) hala utara, kira-kira pukul 9.20 malam tadi.

Nahas itu menyebabkan Yong Chi Yong, 23, maut di tempat kejadian akibat tersepit dan mengalami kecede­raan parah di badan.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superin­tenden Somsak Din Keliaw berkata, siasatan masih diteruskan bagi me­ngenal pasti punca sebenar kejadian ekoran kenderaan yang dilanggar itu masih belum dapat dikenal pasti.