SEORANG mangsa yang cedera diberi bantuan sebelum ketibaan ambulans di Kampung Baru, Kuala Lumpur, semalam.

Seorang daripada mangsa yang cedera dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang itu merupakan pekerja pembinaan manakala dua wanita yang turut terlibat kebetulan berada di kawasan tersebut.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berkata, seorang daripada mang­sa wanita dipercayai patah bahu kanan dan dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan manakala pekerja pembinaan dan seorang lagi wanita hanya cedera ringan.

“Wanita yang patah bahu itu berusia 30-an dan wanita yang mengalami luka ringan merupakan warga emas. Mereka dipercayai terkena libasan kabel kren dan serpihan cermin kenderaan yang pecah

“Dalam kejadian ini juga tiga buah kereta didapati rosak te­ruk dihempap kren berkenaan,” ujarnya.

Sementara itu, UDA Holdings Berhad (UDA) dalam kenyataannya memberitahu, pihaknya te­lah mengambil langkah-langkah segera untuk memaklumkan kepada pihak-pihak terlibat dan menutup kawasan kejadian.

Jelasnya, siasatan terperinci sedang dijalankan bagi me­ngenal pasti punca kejadian dan maklumat lebih lanjut akan dimaklumkan sebaik sahaja siasatan selesai dijalankan.

“UDA Holdings Berhad kesal dengan kejadian yang berlaku dan akan mengambil segala pendekatan yang perlu bagi mengelakkan kejadian yang seumpamanya daripada berlaku di masa akan datang,” ujarnya.