Mangsa yang meninggal dunia dalam kejadian pukul 9.45 pagi itu ialah penumpang Perodua Alza, Nor Hasidah Asbullah, 32, dan dua anaknya, Nur Auni Athirah Kamaruddin, 8, serta Muhammad Iffat Rizqi Kamaruddin, 2,.

Pemandu Perodua Alza yang juga suami kepada Nor Hasidah, Kamaruddin Mohd. Zin, 33, dan seorang lagi anak mereka, Nur Syadni Syakirah, 3, cedera serta dirawat di Hospital Rompin.

Pemandu lori jenis Hino, Mohd. Saiful Bahari Berahim, 32, pula patah tangan kanan manakala kelindannya, Mohd. Fazieran Rozinor luka di kepala dan dirawat di hospital sama.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Amran Sidek berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku ketika Perodua Alza dinaiki lima beranak itu dari arah Johor Bahru menghala ke Terengganu manakala pemandu lori dari Kuantan menghala ke Rompin.

“Apabila sampai di tempat kejadian selepas melalui selekoh ke kanan pemandu Perodua Alza hilang kawalan dan berpusing lalu masuk ke laluan bertentangan dalam keadaan melintang dan terlanggar lori di hadapan.

“Perodua Alza itu kemudian terjunam ke dalam parit dan tiga penumpang kenderaan itu tercampak keluar serta meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.

Amran berkata, siasatan lanjut diteruskan dan kes disiasat Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. - UTUSAN ONLINE