Muhammad Syafiq Haikal Mohd. Sulaiman, 13, serta dua adik­nya, Muhammad Hafiz Iskandar, 11, dan Muhammad Harris Ikhwan, 10, yang merupakan anak yatim selepas kematian bapa pada 2005, adalah pelajar di pusat tahfiz tersebut.

Difahamkan, kesemua mang­sa merupakan anak kedua, keempat dan kelima daripada enam beradik.

Kakak sepupu mangsa, Mas Aliza Ali, 22, berkata, Muhammad Hafiz Iskandar ada meng­hubungi ibunya semalam me­nyatakan keinginan untuk pulang ke rumah hujung ming­gu ini.

Ujarnya yang merupakan anak bekas pelakon, Mas Anizan, hasrat tersebut bagai­ma­na­pun tidak kesampaian apa­bila dia dan keluarganya me­nerima berita kematian ketiga-tiga mereka pagi ini.

“Sejak kematian bapa mereka, ketiga-tiga beradik ini tinggal dan dijaga oleh ibu saya namun, kami sekeluarga membuat keputusan untuk menghantar mereka belajar di pusat tahfiz tersebut awal tahun ini.

“Kebiasaannya, Muhammad Harris Ikhwan akan meng­hubungi saya untuk meng­ambil mereka namun se­ma­lam dia hanya menelefon ibu saya dan memberitahu dia mahu pergi (mahu pulang ke rumah),” katanya ketika ditemui di pekarangan Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur di sini hari ini.

Ditanya sama ada terdapat perubahan tingkah laku tiga beradik tersebut sebelum kejadian, Mas Aliza memberitahu, Muhammad Syafiq Haikal dilihat tidak seceria seperti sebelum ini.

“Muhammad Syafiq Haikal antara yang paling rapat dengan saya, selalunya dia akan berbual namun ketika sambutan hari raya haji baru-baru ini, dia senyap sahaja.

“Tidak sangka, itu petanda dia dan adik-adiknya akan pergi meninggalkan kami,” ujarnya.

Jenazah ketiga-tiga beradik itu dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Jalan Kuala Lumpur-Karak, di sini.