Dalam kejadian pada pukul 5.45 pagi itu, Wan Nor Afifah Wan Mohd. Kamaruzzaman,28, Wan Nor Athirah, 27, dan Wan Mohd. Mahathir,14 dikatakan dalam perjalanan pulang selepas menghantar ibu bapa serta adik perempuan mereka ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk mengerjakan umrah, Khamis lalu.

Mangsa yang cedera dalam kemalangan itu ialah ibu saudara mereka, Salma Ibrahim dan sepupu tiga beradik berkenaan, Nurul Aliyani Zawawi.

Ibu saudara mereka yang mahu dikenali sebagai Mama berkata, kelima-limanya dalam perjalanan pulang dari Melaka ke rumah mereka di Kampung Padang Lalang Binjai, Kemaman, Terengganu.

“Sebelum itu, pada Khamis lalu mereka menghantar ibu bapa serta adik perempuan mereka ke KLIA yang ingin menunaikan umrah.

“Saya mendapat tahu mengenai kejadian ini kira-kira pukul7 pagi selepas dihubungi oleh Nurul Aliyani yang dapat keluar daripada kenderaan selepas kemalangan berlaku.

“Dia beritahu saya tiga adik beradiknya sudah meninggal dunia dan dia hanya dapat keluar selepas dua jam berada dalam air manakala ibunya (Salma) dapat dikeluarkan tidak berapa lama kemudian,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini hari ini.

Sementara itu, jurucakap Bilik Gerakan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan ketika dihubungi mengesahkan kejadian. - UTUSAN ONLINE