Itu kata-kata yang sering disebut oleh Abu Bakar Ahmad, 58, kepada anak-anaknya selepas dia terselamat tanpa sebarang kecederaan dalam dua kemalangan yang menimpanya kira-kira lima tahun lalu.

Menurut anak ketiga Abu Bakar, Mohamad Khirul Azran, 25, mereka adik-beradik tidak merasakan kata-kata bapa mereka satu keganjilan kerana arwah kerap mengulangi ayat yang sama sambil memberitahu hidup mati seorang pemandu lori adalah bersama kenderaan tersebut.

“Ayah pernah terlibat kemalangan sebanyak dua kali namun dia tidak cedera langsung walaupun kepala lori yang dipandunya remuk teruk. Sebab itu dia selalu cakap, jika kali ketiga kemalangan, dia tiada (maut).

“Masa dia cakap saya rasa biasa sahaja sebab dia selalu beritahu memandu lori mati pun dengan lori. Malah dia pernah cakap jika kita tidak hentam (langgar) orang, orang yang akan hentam kita,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Slim River di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 7.39 malam di Kilometer 379.6, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara semalam, pemandu lori tangki muatan susu getah itu maut bersama anak lelakinya, Mohamad Khirulafifi, 26, setelah dirempuh sebuah treler tanpa muatan di lorong kecemasan.

Kemalangan tersebut berlaku ketika Abu Bakar membantu membaiki kerosakan lori tangki muatan sama yang dipandu anaknya itu sebelum sebuah treler yang dipandu lelaki berusia 29 tahun merempuh mereka dan terbabas ke pembahagi tengah lebuh raya. - UTUSAN ONLINE