Ibrahim Zailan, 45, iaitu abang sulung kepada seorang mangsa, Silawati, 31, membe­ritahu, dia mengetahui terdapat kejadian lemas apabila melihat ramai orang awam mengerumuni tempat kejadian ketika dalam perjalanan ke tempat kerja, semalam.

Bagaimanapun katanya, kira-kira pukul 8 malam, dia meneri­ma panggilan telefon daripada isteri yang memaklumkan adik bongsunya, Silawati merupakan antara lima mangsa yang dikhuatiri lemas ketika memancing di kawasan tersebut.

“Saya dimaklumkan adik pergi memancing bersama suami­nya dan saudara. Mereka berjaya menyelamatkan diri ketika berlaku kepala air namun adik saya dihanyutkan arus deras.

“Adik (Silawati) memang suka memancing dari kecil. Namun kebiasaannya dia memancing di laut tapi kali ini dia memancing di sungai ini pula,” katanya yang memaklumkan adiknya mempunyai sepasang anak berusia enam dan tiga tahun.

Sementara itu, anak seorang lagi mangsa, Jaleha Hashim, 48, Muhd. Badrul Syamsul Azhar, 21, berkata, kali terakhir dia menemui ibunya adalah pada Ahad lalu.

“Kebelakangan ini ibu saya semakin kerap keluar meman­cing, dia memang minat memancing.

“Ahad lepas adalah kali ter­akhir saya menatap wajah ibu saya, itu pun cuma nampak sekali imbas kerana dia berada di dalam kereta,” ujarnya.

Jaleha dan Silawati masing-masing datang memancing bersama suami mereka, Syamsul Azhar Maula Ismail, 33, dan Rizal Mad Desa, 31.

Kedua-dua suami mereka selamat dalam kejadian tersebut.