Bagi mereka, kisah lama itu tidak perlu diulang lagi kerana hanya membawa kesedihan apabila mengenang kehilangan keluarga, harta benda dan sahabat sekampung.

Salah seorang daripada mereka, Rusnah Puteh, 59, berkata, apa yang lebih penting bagi penduduk di situ ketika ini adalah berusaha untuk memajukan diri dan keluarga bagi menikmati kehidupan yang lebih baik.

“Kalau ditanya kepada penduduk di sini, memang kebanyakannya tidak mahu lagi bercakap tentang kejadian itu. Sebaliknya kami lebih berminat untuk bercakap tentang perkara yang boleh dilakukan di sini bagi menambah pendapatan keluarga.

“Kebanyakan mangsa tsunami sudah berusia dan tidak lagi menjadi nelayan. Tugas mencari rezeki telah beralih kepada anak-anak. Saya fikir, kita tidak perlu lagi bercakap tentang perkara itu sebaliknya berusaha mewujudkan lebih banyak kemudahan unuk me­rancakkan lagi pembangunan ekonomi penduduk di sini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pandangan sama turut dinyatakan seorang lagi penduduk, Bashah Yahya, 60, yang kehilangan rumah dan hampir seluruh hartanya dalam kejadian itu.

“Sepatutnya pada masa ini kita berusaha menambah pelbagai kemudahan di kawasan ini bagi menjadikannya sebagai kawasan pelancongan.

“Saya sendiri seboleh-boleh­nya mahu melupakan kejadian itu tetapi pada masa sama, tidak menolak kemungkinan tragedi tersebut mampu menarik kedatangan pelancong ke sini. Keadaan itu saya yakin mampu menjana pendapatan tambahan buat penduduk setempat,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Penyelaras Pembangunan, Pe­ngurusan dan Pentadbiran Kampung Keda, Ahmad Osman, 62, mengakui beberapa inisiatif telah diambil kerajaan bagi menarik kedatangan pengunjung ke situ antaranya tugu dan galeri peri­ngatan tsunami.

“Namun, kami fikir masih ba­nyak perkara yang boleh diusahakan antaranya laluan pejalan kaki di pesisir pantai, tempat istirehat keluarga dan lampu jalan disediakan,” katanya.

Pengerusi Penempatan Mangsa Tsunami, Yusof Awang, 53, pula memberitahu, penduduk yang pernah menjadi mangsa tsunami bersyukur dengan usaha kerajaan membantu mereka.

“Sebanyak 126 keluarga telah diberi tempat tinggal baharu di Taman Permatang Katong tidak jauh dari lokasi asal rumah mereka. Segalanya ada di sini antaranya surau, taman permainan dan dewan komuniti,” jelasnya.