Menurut kementerian itu, pihaknya melalui Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah akan terus memantau perkembangan berkenaan insiden serangan tersebut.

“Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah telah mengesahkan bahawa setakat ini, tiada rakyat Malaysia yang dilaporkan cedera di dalam insiden tersebut. 

“Kementerian Luar turut mengingatkan rakyat Malaysia yang berada di Mesir supaya sentiasa berhati-hati dan peka terhadap keadaan keselamatan mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah kenyataan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau bantuan boleh dikemukakan kepada Kedutaan Besar Malaysia di
Kaherah menerusi talian +20237610013, +201200276388 atau menerusi e-mel, [email protected]

Dalam pada itu, katanya, kerajaan Malaysia turut mengutuk sekeras-kerasnya serangan bom tersebut yang telah meragut sebanyak 47 nyawa dan mencederakan lebih 100 orang.

Serangan bom pertama di Gereja Koptik Mar Girgis telah meragut sebanyak 29 nyawa dan mencederakan sebanyak 71 orang, manakala serangan bom kedua di Kathedral Koptik Ortodoks Saint Mark telah meragut 18 nyawa dan mencederakan 66 orang.

Susulan kejadian ini, Kerajaan Mesir telah mengisytiharkan keadaan darurat di negara berkenaan. - UTUSAN ONLINE