Itu kenyataan, juruterbang persendirian Berjaya Air, Kapten Muhammad Fauwaz Zamzam mengenai kemalangan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di Subang, Isnin lalu.

Menurutnya, penerbangan dari Jaipur, India ke LTSAAS yang mengambil masa kira-kira lima jam tidak menghadapi sebarang masalah ketika berada di udara.

“Apa yang berlaku sungguh mengejutkan, kami telah mendapat kebenaran daripada menara kawalan untuk mendarat, pendaratan itu juga sangat sempurna dan semuanya berjalan dengan baik.

“Malah tidak ada sebarang lampu isyarat amaran di atas landasan untuk mengingatkan kami bahawa terdapat kehadiran pekerja penyelenggaraan atau halangan lain di atas landasan ketika itu.

“Namun ketika kami sedang memperlahankan kelajuan pesawat (selepas mendarat) secara tiba-tiba kedengaran dentuman yang kuat di sebelah sayap, kami tidak tahu rupanya telah merempuh sebuah kenderaan sehinggalah bila berada di parkir,” katanya seperti dilaporkan portal MalaysiaGazette.

Muhammad Fauwaz yang juga merupakan Pengurus Operasi Berjaya Air memberitahu, ini merupakan pertama kali beliau berdepan dengan kejadian tersebut setelah menjadi juruterbang kira-kira 16 tahun lalu.

“Ketika kejadian Tan Sri Vincent Tan (Jutawan terkenal) tidak berada dalam pesawat tersebut.

“Terkilan kerana pelbagai andaian dan tuduhan liar dilemparkan sedangkan kes itu masih lagi dalam siasatan pihak berkuasa.

“Apa yang boleh saya katakan, kami dah mematuhi segala prosedur yang ditetapkan dan kini saya harap kita semua tunggu hasil siasatan pihak berkuasa,” katanya lagi.

Tambahnya, secara peribadi beliau tabah dan redha dengan segala qada dan qadar ketentuan Allah.

“Namun untuk mengatakan ia mendatangkan trauma, tidak sama sekali. Juruterbang memang dilatih untuk berhadapan dan bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan, biar pun pesawat dah selamat mendarat seperti mana yang insiden yang terjadi tempoh hari.

“Ini menunjukkan selagi pesawat bergerak, risiko tetap ada,” katanya.

Muhammad Fauwaz mempunyai lebih 7,000 jam penerbangan dan telah menerbangkan pelbagai jenis pesawat sepanjang antaranya Boeing 737, Airbus 320, Airbus 330 dan ATR72. Beliau juga menerbangkan jet peribadi Vincent Tan iaitu Global 5000 dan Challenger 300.

Isnin lalu, pesawat persendirian milik Berjaya Air melanggar kenderaan kejuruteraan milik Malaysia Airport Berhad (MAB).

Kejadian itu menyebabkan petugas MAB, Mohd. Ruzaimi Iskandar Ahmad Razali cedera parah dan meninggal dunia keesokan harinya. - UTUSAN ONLINE