“Beberapa minit sebelum pesawat itu hilang dari radar, ia secara tiba-tiba terbang meninggi pada kelajuan luar biasa dan terhenti sebelum terhempas ke perairan Laut Jawa,’’ katanya selepas menghadiri taklimat dengan Suruhanjaya Dewan Perwakilan mengenai pengangkutan dan kerja raya di sini, semalam.

Ini adalah kenyataan rasmi pertama dari pihak berkuasa tertinggi kerajaan mengenai perkara yang menyebabkan pesawat penumpang yang dalam penerbangan dari Surabaya ke Singapura itu terhempas pada awal pagi minggu akhir bulan lalu.

“Mengenai sebab-sebab pesawat itu terhenti, kita perlu tunggu hasil siasatan Suruhanjaya Keselamatan Pengangkutan Nasional,’’ katanya seperti yang dipetik dari Jakarta Post.

Memetik data dari sistem pengawasan automatik pesawat tersebut, Jonan berkata, pada pukul 6.17 minit pagi, pesawat A320 itu terbang meninggi melebihi 8,000 kaki seminit, lebih laju dari tahap kenaikan jet pejuang.

Menurutnya lagi, jet pejuang sekalipun tidak akan terbang secara `mendaki’ pada kelajuan 6,000 kaki seminit.

Bagi pesawat komersial, kadar purata ketinggian ialah antara 1,000 dan 2,000 kaki seminit kerana pesawat tersebut tidak direka untuk naik dengan begitu laju, tambahnya.

“Selepas mencapai ketinggian 37,000 kaki, pesawat tersebut memperlahankan kelajuan kepada 1,500 kaki seminit. Pada ketinggian 24,000 kaki, pesawat itu hilang dari radar,’’ ujarnya.

Laporan sebelum ini menyebut, pesawat malang yang membawa 162 orang penumpang dan anak kapal itu meminta kebenaran dari menara kawalan udara di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta di sini untuk keluar ke kiri laluan bagi mengelakkan awan.

Permintaan tersebut dibenarkan dan pesawat tersebut keluar ke kiri laluan sebelum juruterbang pesawat, Iryanto yang juga bekas juruterbang pesawat pejuang memohon untuk naik ke aras 38,000 kaki dari kedudukan asal 32,000 kaki tanpa memberi alasan.

Menara kawalan kemudian membenarkan permintaan tersebut tetapi tidak mendapat sebarang jawapan dari juruterbang.

Dalam sesi pendengaran itu juga, Ketua Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas), Bambang Soelistyo memberitahu, pasukan itu bersedia dengan pelbagai pelan tindakan berhubung usaha-usaha bersepadu yang berterusan untuk mencari mangsa-mangsa yang belum ditemukan.

Setakat ini, hanya 53 daripada keseluruhan 162 penumpang dan anak kapal berjaya dibawa keluar dari kawasan tragedi. Kotak hitam dan sebahagian besar badan pesawat tersebut juga sudah berjaya dibawa naik dari dasar laut.

Menurut Soelistyo lagi, pada 27 Januari depan, genap sebulan gerakan mencari dan menyelamat dijalankan yang sehingga kini menelan belanja 570 juta rupiah dengan bantuan beberapa negara termasuk Malaysia, Rusia dan Singapura.

“Kita sudah berjumpa dengan waris mangsa dan menjelaskan perkara sebenar yang kita hadapi. Bagaimanapun bergantung kepada Presiden Joo Widodo membuat keputusan sama ada menamatkan misi pencarian atau sebaliknya,’’ katanya. – UTUSAN