Menceritakan lebih lanjut, menurut pelajar terlibat, Areree Abu Bakar, 24, ketika kejadian kejadian, hujan lebat menyebabkan banjir sehingga paras pinggang dalam tempoh tidak sampai sejam akibat limpahan Sungai Pekalongan.

Katanya, pihak berkuasa Indonesia sejurus itu serta-merta mengarahkan meninggalkan tempat tinggal untuk ke tempat lebih selamat menyebabkan mereka gagal menyelamatkan pelbagai barangan kecuali dokumen perjalanan dan komputer riba.

“Kejadian berlaku pada pukul 9 malam 26 Januari iaitu kami sedang bersiap-siap untuk tidur, secara tiba-tiba jiran memaklumkan banjir kerana limpahan air sungai.

“Kami sangat panik pada waktu itu dan hanya capai barang yang penting sahaja untuk ke tempat lebih selamat,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) di sini hari ini.

Areree menambah, sebaik tiba di tempat pemindahan banjir, mereka terpaksa bermalam di situ sehingga keesokkan hari sehingga van disediakan tiba membawa kesemua 12 pelajar itu ke Jakarta.

“Perjalanan Pekalongan ke Jakarta memakan masa lapan jam atau kira-kira 350KM, nasib baik jalan raya tidak juga ditenggelami banjir dan akhirnya kami selamat sampai.

“Sebaik tiba di Jakarta, dengan bantuan pejabat Kedutaan Malaysia di sana, kami diberi pelbagai bantuan sehinggalah pulang ke tanah air,” katanya.

Katanya lagi, dia bersama rakan-rakan lain terkilan kerana gagal menyelamatkan peralatan bagi latihan perindustrian yang setiap satu berjumlah RM2,000.

Masing-masing merupakan pelajar tahun akhir ijazah sarjana muda dari Fakulti Kreatif dan Warisan UMK berada di Pekalongan bagi menjalani latihan perindustrian dalam sektor pembuatan.

Kumpulan itu terdiri daripada 10 pelajar wanita dan dua lelaki selamat tiba ke tanah air dengan menaiki pesawat AirAsia AK354 dari Jakarta ke Kuala Lumpur pada pukul 12.20 tengah malam dan disambut oleh Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

Pada baru-baru ini, media antarabangsa melaporkan hujan lebat selama dua hari bermula 26 Januari menyebabkan berlaku banjir besar di beberapa kawasan di Jawa Tengah.-UTUSAN ONLINE