Walaupun kali ini tiada sebarang kecederaan atau kematian dilaporkan, namun akibat perlakuan tidak bertanggungjawab itu, sebuah kereta Perodua Myvi yang diletakkan di kawasan letak kenderaan di bawah pangsapuri rosak selepas dihempap televi­syen tersebut.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, kejadian berkenaan disedari pemilik kenderaan pada pukul 12 tengah hari sebelum pihak pengurusan pangsapuri membuat aduan berhubung kejadian itu pada pukul 12.50 tengah hari.

“Ketika kejadian, ada pihak pengurusan berada di kebun berhampiran pangsapuri berkenaan yang menyedari satu objek iaitu televisyen seberat kira-kira 10 kilogram dibuang dari tingkat atas.

“Kami sudah mengambil ketera­ngan pemilik kereta itu dan mendapati pemilik televisyen berkenaan adalah penghuni di tingkat 13, blok pangsapuri terbabit,” katanya di sini hari ini.

Hamzah memberitahu, pi­haknya juga telah mengambil kete­rangan pemilik televisyen berkenaan yang memaklumkan dia meletakkan televisyen itu di depan rumah sejak tiga minggu lalu kerana sudah rosak dan mahu membuangnya.

“Bagaimanapun, pemilik televisyen itu memaklumkan dia tidak tahu siapa yang membuangnya ke bawah. Siasatan lanjut turut mendapati tiada saksi yang melihat kejadian itu manakala lokasi kejadian tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV),” ujarnya.

Pada 15 Januari lalu, seorang pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) La Salle, Petaling Jaya, S Sathiwaran maut akibat dihempap sebuah kerusi yang dicampak dari tingkat atas Blok 102 Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Pantai, Bangsar.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 8 malam ketika mangsa baru pulang dari kedai runcit bersama ibunya, M S Kasthuribai, 45.