Pengusahanya, [email protected] Redzuan Hasan berkata, laporan yang disiarkan dalam beberapa akhbar utama telah menyebabkan masyarakat memberi tanggapan negatif serta mengecam pusat asuhan tersebut walaupun telah dijelaskan pihak polis bukan disebabkan kecuaian pihak taska.

Menurutnya, tanggapan termasuk tohmahan liar dilempar masyarakat selepas berita kematian seorang bayi baru-baru ini di pusat asuhan itu telah mero­sakkan nama taska tersebut yang telah beroperasi lebih 15 tahun.

“Saya menghormati keluarga mangsa dan bersimpati dengan apa yang berlaku. Bagaimanapun, saya tegaskan di sini kematiannya bukan berpunca daripada kecuaian pihak kami tetapi atas faktor lain iaitu jangkitan kuman pada paru-paru seperti dijelaskan pihak hospital selepas bedah siasat.

“Selain itu, kematian bayi berusia empat bulan itu juga bukannya semasa di bawah jagaan pihak kami di sini (taska) tetapi ketika menerima rawatan di hospital,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini, hari ini.

Jelas Awang, penyebaran beri­ta itu turut menyebabkan orang ramai terutamanya ibu bapa berasa ragu-ragu untuk menghantar anak mereka ke taska tersebut serta cawangan Anak Pintar lain.

Tambahnya lagi, Taska Anak Pintar tidak pernah mengabaikan setiap peraturan serta prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mengekang kejadian tidak diingini .

“Kami sentiasa ikut standard yang ditetapkan untuk menyelesaikan masalah secara profesional, patuh segala prosedur bagi mengelak kejadian buruk,” katanya.

Pada 23 Julai lalu, akhbar melaporkan seorang bayi lelaki, Yusof Al-Baihakki berusia empat bulan meninggal dunia dipercayai akibat tersedak susu selepas seminggu dihantar ke pusat asuhan berkenaan.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad menafikan kejadian itu disebabkan tersedak susu sebaliknya berpunca daripada jangkitan kuman pada paru-paru selepas menerima laporan lengkap bedah siasat oleh Jabatan Forensik Hospital Melaka, sehari selepas kejadian.