Mek Ngah Mohd. Amin, 61, dari Kampung Melayu Air Jernih, Kemasik maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dalam nahas yang berlaku pukul 12.20 pagi.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd. Said Ibrahim berkata, nahas berlaku ketika kereta jenis Toyota Vios yang dalam perjalanan dari arah Kuantan ke Kuala Terengganu gagal mengelak mangsa yang melintas jalan secara tiba-tiba.

Beliau memberitahu, akibat rempuhan itu, mangsa tercampak ke tepi jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk dibedah siasat sebelum dituntut oleh keluarga untuk urusan pengkebumian.

"Jenazah telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Air Jernih selepas solat Zohor petang tadi manakala pemandu serta tiga lagi penumpang kereta terbabit tidak cedera," katanya di sini hari ini sambil menambah, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE