Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, selain wang tunai, turut disalurkan bantuan barangan keperluan menerusi Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan (AHA).

"Bantuan wang tunai ini disalurkan atas nama kerajaan Malaysia dan rakyat di negara ini bagi membantu mangsa bencana di Sulawesi.

"Bantuan ini sedang diuruskan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Pemerkasaan Pendidikan Daerah Kuantan di Kolej Universiti Widad di sini hari ini.

Saifuddin berkata, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) juga telah menguruskan penghantaran bantuan kepada mangsa yang terjejas bencana di Sulawesi Tengah.

"Selain itu, terdapat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari negara ini menyalurkan bantuan di sana seperti Persatuan Bantuan Perubatan (Mercy) Malaysia dan Global Peace Mission (GPM) Malaysia," katanya. - UTUSAN ONLINE