WARGA emas, Che An Ulong (kiri) dan isterinya, Samsiah Din, berjaya menyelamatkan diri ketika rumah
WARGA emas, Che An Ulong (kiri) dan isterinya, Samsiah Din, berjaya menyelamatkan diri ketika rumah mereka terbakar di Kampung Raja, Kupang, di sini, hari ini. UTUSAN ONLINE /Norlia Ramli

Pegawai Penguatkuasa Bomba, Riduan Abu Malek berkata, mereka menerima panggilan daripada orang awam pada pukul 9.55 pagi dan bergegas ke tempat kejadian yang jaraknya 25 kilometer.

"Seramai 27 anggota bomba dari daerah ini termasuk dari Pengkalan Hulu dan Briged Sukarelawan 1Malaysia (BS1M) bertungkus lumus memadam api kebakaran yang marak menyala.

"Keadaan rumah papan dan cuaca panas menyebabkan api marak dengan begitu cepat dan 90 peratus kebakarannya menyebabkan tiada sebarang harta benda dapat diselamatkan.

"Anggota bomba menggunakan dua aliran dan dua saluran pancutan air dari jentera untuk memadamkan api tersebut dan ia berjaya dikawal pada pukul 10.25 lagi," kata Riduan ketika ditemui di tempat kejadian di Kampung Raja, Kupang.

Menurutnya, kedua mangsa  Che An Ulong, 84, dan isterinya, Samsiah Din, 83, tidak mengalami sebarang kecederaan namun agak lemah mungkin disebabkan uzur dan trauma.

Anggaran kerugian mangsa dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

Sementara itu, mangsa Che An berkata, sebelum itu dia menjerang air untuk bancuh kopi, sementara isterinya berada di luar.

"Saya tidak tahu bagaimana api boleh menyambar bahagian dapur rumah dan merebak ke ruang tamu.

"Saya segera berlari keluar dan tidak sempat menyelamatkan sebarang dokumen mahupun barangan rumah, namun begitu saya bersyukur kerana tiada sebarang kemalangan jiwa yang berlaku," kata Che An.

Che An turut mengucapkan terima kasih kepada bomba dan penyelamat serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang membantunya dan isteri ketika menghadapi musibah ini.-UTUSAN ONLINE