Mangsa, Azizan Sahari, 42, dan isterinya, Nor Baiti Awang, 44, dalam perjalanan pulang dari Klinik Kesihatan Juasseh yang terletak kira-kira dua kilometer dari rumah mereka di Taman Putra menaiki skuter jenis Yamaha Ego dalam kejadian kira-kira pukul 10.50 pagi.

Azizan yang bekerja sendiri di Batu Kikir dan isterinya yang merupakan pekerja pembersihan di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Jempol meninggal dunia di lokasi kejadian.

Seorang saksi yang enggan dikenali mendakwa, dia melihat sebuah lori yang sarat muatan pasir sedang bergerak dari arah Batu Kikir ke Kuala Pilah di jalan tersebut sebelum kemalangan itu berlaku.

"Tiba-tiba dua buah tayar sebelah kanan lori itu tercabut dan melantun ke arah mangsa yang menaiki motosikal di jalan bertentangan. Akibatnya, kedua-dua mangsa tercampak ke pagar duri sebuah ladang di tepi jalan berkenaan," katanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Deputi Superintendan Syahrul Anuar Abd Wahab ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut, namun siasatan lanjut berhubung kes itu masih dijalankan.

Menurutnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pemandu lori berkenaan dibebaskan selepas keterangannya diambil oleh pihak polis. - UTUSAN ONLINE