Dalam kejadian pada pukul 8.30 pagi itu, penunggang motosikal Honda CBR500, Muhammad Hamadi Zakaria, 31, dan isterinya, Nur Syuhadah Zaini, 31, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sekali gus menjadikan dua anak perempuan pasangan tersebut yatim piatu sekelip mata.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintenden Azman Shari’at berkata, hasil siasatan mendapati sebelum kejadian, penunggang motosikal Yamaha LC, Mohd. Saad Ismail, 43, dan penunggang motosikal Suzuki Alexo, Sainuddin Sukkur, 51, dipercayai bergesel dan terbabas di lokasi berkenaan.

“Dalam masa sama, motosikal Honda CBR500 dinaiki dua mangsa yang maut datang dari arah sama dan gagal mengelak seterusnya melanggar Sainuddin yang berada di tengah jalan.

“Akibat daripada pelanggaran tersebut, motosikal ditunggangi Muhammad Hamadi hilang kawalan lalu terbabas melanggar penghadang jalan di bahagian kiri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Azman, mangsa yang maut dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk proses bedah siasat manakala dua lagi mangsa turut dibawa ke hospital sama dan kini diletakkan di zon merah.

“Kita telah kesan saksi awam di lokasi kemalangan bagi membantu siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE

Learn to freehand visualize your ideas