Dalam kejadian pukul 10 pagi itu, selain Salihen Othman, 66, dan isterinya, Hasnah Jalani, 82, turut maut ialah adik Hasnah, Zarah Jalani, 72.

Pemandu kereta, Yatim Mustafa, 18, yang juga anak bongsu kepada pasangan berkenaan cedera parah.

Menurut anak pasangan berkenaan, Amir Rashid, ketika kejadian, ayah, ibu, adik serta emak saudaranya itu sedang dalam perjalanan dari Taman Sinaran Kempas, Johor Bahru untuk melawat kakak sulungnya di Felda Sungai Sibol.

“Mereka sepatutnya pergi Sabtu ini dengan saya kerana saya bercuti, namun mereka mahu juga pergi hari ini, sebab itu saya minta adik bongsu bawa Perodua Viva saya untuk bawa mereka ke sana.

“Saya terkejut apabila polis memaklumkan mereka terlibat dalam kemalangan sebelum bergegas ke hospital,” katanya ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik, Hospital Kota Tinggi.

Amir Rashid memberitahu, kali terakhir dia bertemu ibu bapanya itu awal pagi ini sebelum pergi ke tempat kerjanya di sebuah hotel di Johor Bahru.

Kata Amir Rashid, bapanya sempat berpesan supaya dia berhati-hati memandu kereta dan menjaga diri di tempat kerja.

“Saya tidak sangka itu pertemuan terakhir saya dengan mereka bertiga. Mereka tidak menunjukkan perubahan kecuali emak pagi ini tidur di samping adiknya (mak cik), kalau sebelum ini jarang sangat nak tengok emak macam itu,” katanya.

Tambah Amir Rashid, jenazah ibu dan bapanya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Bukit Alif, Johor Bahru, manakala jenazah ibu saudaranya di Yong Peng, Batu Pahat.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Superintenden Ashmon Bajah berkata, kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuai­an pemandu kereta Perodua Viva yang memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan kereta lori pasir berkenaan.

Katanya, pemandu lori pasir berusia 38 tahun tidak mengalami kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.