Menurut pensyarah Jabatan Perancangan Bandar dan Wi­layah, Fakulti Alam Bina Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Hamid Saad, tanah jenis itu tidak mempunyai struktur yang kukuh dan mudah berlaku pergerakan tanah apabila hujan.

“Masalah ketara terhadap projek perumahan mewah di lereng bukit di Tanjung Bungah adalah kerana kawasan itu dari jenis ta­nah yang tidak berbatu.

“Sebab itu apabila hujan kita dapat lihat tanah lumpur yang di­bawa ke muara sungai adalah jenis tanah yang tidak berbatu sekali gus menyebabkan air banjir yang mengalir juga berwarna merah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas pe­ringatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Kerajaan DAP Pulau Pinang supaya meneliti semua projek perumahan di lereng bukit yang diluluskan kepada pemaju sebagai antara langkah mengelak bencana banjir besar pada masa hadapan.

Menurut Hamid, pemaju projek perumahan di Pulau Pinang dilihat sanggup menggadaikan alam sekitar kerana tapak projek yang menjadi punca banjir besar di negeri itu secara jelasnya adalah tidak sesuai untuk pemba­ngunan.

Dalam hal itu tegasnya, pihak berkuasa tempatan (PBT) memainkan peranan sangat penting dalam meneliti setiap permohonan yang diterima daripada pemaju iaitu memastikan jenis tanah yang sesuai bagi setiap projek perumahan.

“Kalau kita bandingkan de­ngan projek perumahan lereng bukit yang dikawal oleh Dewan Bandaraya Kuala lumpur (DBKL), saya kira mereka jauh lebih baik kerana kebanyakan projek di Lembah Klang sudah mengambil iktibar daripada insiden Highland Towers yang runtuh pada 1993,” katanya.

Pensyarah Fakulti Kejurute­raan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Maketab Mohamed pula berkata, apa yang berlaku di Pulau Pinang bukan tentang isu banjir besar semata-mata, tetapi masalah kestabilan cerun di projek perumahan mewah berkenaan.

“Pembangunan projek perumahan di kawasan bandar tidak boleh dihalang kerana peratusan penduduk yang tinggal di bandar juga semakin tinggi, namun isu­nya bagaimana PBT menguruskan pembangunan itu?

“Banjir kilat boleh disebabkan banyak faktor dan paling utama disebabkan hujan lebat. Kedua, pengurusan air larian (runoff) daripada hujan. Masalah di negara kita adalah hanya melihat cara menguruskan masalah itu de­ngan membina lebih banyak parit, malah ada juga mencadang­kan supaya dibina parit yang dalam dan lebih besar,’’ katanya.

Menurut beliau, banjir kilat selalunya berlaku disebabkan peratusan tanah dan jalan yang telap air semakin berkurangan kerana pembangunan dan selagi perkara itu tidak dikawal semakin kerap banjir akan berlaku.

“Ada penyelesaian lain seperti yang diamalkan di Jepun iaitu air larian dialihkan ke kolam-kolam takungan sementara atau membina jalan dan kawasan parkir yang boleh dilalui air,” jelasnya.

/