Dalam kejadian pukul 11 malam itu, kawasan dengan keluasan 1.2 hektar tersebut digunakan sebagai stor penyimpanan kenderaan itu terbakar selepas dipercayai berpunca daripada mercun yang dicampak oleh individu yang masih belum dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Zani Che Din berkata, siasatan awal mendapati sebanyak tiga buah kereta Toyota Wish, sebuah kereta BMW 5 series dan tiga buah kenderaan lain mengalami kerosakan di bahagian belakang akibat kebakaran berkenaan.

“Selepas menerima panggilan berhubung kebakaran, sepasukan anggota polis yang tiba di lokasi mendapati kebakaran telah dipadamkan oleh pasukan bomba.

“Kebakaran kecil berlaku di bahagian belakang premis menjual kereta terpakai. Insiden itu disyaki berpunca dari aktiviti bermain mercun dan bunga api sempena perayaan Deepavali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohd. Zani, premis didapati dalam keadaan berkunci dan pasukan bomba terpaksa memecah masuk pintu belakang stor bagi memadamkan kebakaran daripada merebak ke premis sebelah.

“Siasatan juga mendapati tiada unsur khianat dengan api dan kemalangan jiwa berlaku,” ujarnya.

Mohd. Zani menjelaskan, setakat ini pemilik premis masih belum dikenal pasti kerana tiada laporan polis diterima daripada pihak berkenaan membabitkan kejadian dan kerugian dialami. - UTUSAN ONLINE