Penolong Kanan Penguasa Bomba Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson, Mohd Hairul Izam Mazelan berkata, berdasarkan maklumat penduduk, kebakaran bermula pada pukul 10 pagi Rabu lalu dan pihak bomba hanya dimaklumkan mengenai kejadian itu pada pukul 1.05 petang.

Katanya, seramai lapan pegawai dan anggota serta sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson telah dikerahkan memberi bantuan selepas menerima panggilan kecemasan.

“Pada peringkat awal operasi, terdapat tong-tong dram yang terbakar dan berlaku letupan beberapa kali ekoran tindak balas bahan kimia dengan air.

“Susulan itu kerja-kerja memadamkan api dibuat secara berperingkat-peringkat dan kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya pada pukul 11.10 pagi ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Mohd. Hairul Izam, difahamkan stor itu sebelum ini beroperasi namun tiada pekerja dikesan berada di kawasan itu semasa kebakaran.

Katanya, operasi turut melibatkan Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Seremban 2 dan Telok Kemang dengan jumlah keseluruhan pegawai dan anggota seramai 29 orang.

Beliau memaklumkan tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran masih disiasat.

Katanya, pegawai dari Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan turut berada di lokasi kejadian bagi mengenal pasti bahan yang disimpan di stor tersebut serta pemilik premis berkenaan. - UTUSAN ONLINE