Mangsa, Mohammad Hakimie Ifwat Sabaruddin, 18, yang meraih keputusan 6A dalam SPM meninggal dunia di tempat kejadian kira-kira pukul 6 petang ini.

Dalam kejadian itu, rakannya Amzar Amran, 18, pula cedera parah selepas motosikal jenis Honda RS150 dinaiki mereka dipercayai bergesel dengan sebuah motosikal lain.

Ketua Polis daerah, Superintenden Mohd. Ismail Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal dinaiki dua mangsa itu bergesel dengan sebuah skuter dinaiki dua remaja lelaki.

“Penunggang skuter tersebut dikatakan membrek secara tiba-tiba dan mengelak ke kiri sebelum bergesel dengan motosikal ditunggang mangsa.

“Mangsa dan rakannya itu kemudian terjatuh di atas lebuh raya manakala penunggang skuter dan pemboncengnya terselamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohd. Ismail, Mohammad Hakimie mengalami kecederaan parah pada anggota badan manakala Amzar dikejarkan ke Hospital Jitra untuk mendapatkan rawatan.

“Mayat dibawa ke hospital sama untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” tambahnya. - UTUSAN ONLINE