Menurut kakak ipar mangsa, Suriani Abdur Rahman, 49, ibu kepada dua cahaya mata itu bagaimana­pun gagal menyelamatkan diri kerana beberapa mangsa lain dipercayai berpaut pada badannya.

“Saya sempat bercakap de­ngan suaminya yang terselamat. Mangsa sempat paut tangannnya tetapi gagal naik kerana arus terlalu deras.

“Silawati kerap mengikut suaminya memancing dan sebelum kejadian mereka pergi ke Pelabuhan Klang. Tidak sangka pula ini yang jadi,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh hari ini.

Tambah Suriani, kali terakhir dia berhubung dengan mangsa adalah sehari sebelum kejadian melalui laman sosial Facebook.

Jelasnya, tiada perubahan ketara pada mangsa selain meman­ggilnya ‘Kak Long’ walhal sebe­lum ini dipanggil ‘Kak Su’.

“Dia hanya beritahu meman­cing di Pelabuhan Klang dan sempat membuat ‘live’ di akaun Facebook miliknya, jadi saya ingatkan dia masih di sana,” ujarnya.

Silawati ke sungai berkenaan bersama suaminya, Rizal Mad Desa, 31, namun lelaki berkenaan berjaya menyelamatkan diri.