Kejadian itu dianggarkan menjejaskan lebih 100 kubur Islam dengan keluasan sekitar 50 meter apabila dihanyut air atau musnah dipercayai ekoran kerja mengorek pasir.

Menurut Ketua Cabang PKR Batang Lupar, Abang Zulkifli Abang Engkeh, pihaknya berasa sedih melihat kejadian tersebut berlarutan disebabkan tiada kepedulian pihak terbabit malah difahamkan ia mula berlaku sejak enam tahun lalu.

“Arahan untuk menghentikan operasi pengorekan pasir yang berjalan 24 jam sepanjang Batang Saribas di situ dilihat tidak cukup.

“Siasatan rapi didesak dibuat berikutan kubur itu digunakan oleh sembilan kampung berdekatan iaitu Spaoh, Bungin, Belingan, Sebemban, Tanjung Asam, Serembang, Budak, Supa dan Mangut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat PKR Sarawak sebentar tadi.

Yang turut hadir, Ketua Penerangan Pakatan Harapan (PH) Sarawak, Vernon Aji Kedit.

Dalam laporan akhbar tempatan hari ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Mohamad Razi Sitam telah mengarahkan kerja-kerja pengambilan pasir oleh syarikat swasta di situ dihentikan berikutan masalah hakisan semakin serius.

Beliau sebelum ini juga pernah membangkitkan isu itu dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) meminta pemberhentian kerja itu sehingga siasatan punca hakisan selesai bagi tindakan lanjut.

Mengulas lanjut, Abang Zulkifli berkata, dia juga telah membuat laporan polis pagi tadi untuk tindakan pihak Jabatan Tanah dan Survei (JTS), Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) dan Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) menyiasat kejadian itu.

“Saya diberitahu daripada sumber dipercayai kawasan itu mendapat kelulusan pihak JTS untuk mengorek pasir namun kita meragui sama ada terdapat laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) dibuat sebelum itu.

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga diminta menyiasat perkara ini berikutan aduan-aduan telah dibuat namun dilihat tiada tindakan diambil,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE