Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri , Sharikan Bustaman berkata, operasi itu ditutup selepas mendapati  tiada lagi punca-punca yang boleh mencetuskan kebakaran manakala proses penyejukan tangki yang berdekatan sudah menunjukkan penurunan suhu ke tahap normal.

Menurutnya, ekoran daripada penutupan operasi itu,  kerja-kerja penyiasatan kebakaran akan dijalankan mulai esok sehingga hari Khamis ini untuk mengetahui punca sebenar kepada kejadian tersebut.

"Kita akan siasat punca kebakaran yang berlaku dengan begitu pantas itu," katanya ketika ditemui selepas melakukan pemantauan penutupan Pos Kawalan Bomba di pekarangan kilang tersebut.

Insiden kebakaran tiga tangki minyak mentah berkenaan berlaku kira-kira pukul 6.15 petang, Khamis lalu  itu hanya  berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira pukul 6.40 petang semalam.

Seramai 150 anggota ditugaskan mengawal keadaaan setiap hari.

Mengulas lanjut, Sharikan berkata, kerja-kerja penyiasatan akan dijalankan oleh Penolong Ketua Pengarah Bahagian Penyiasatan Kebakaran JPBM, Edwin Galan Teruki bersama sepasukan penyiasatan dari  Jabatan Bomba dan Penyelamat ( JBPM )  Putrajaya.

Sharikan turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan kerjasama sepanjang tiga hari proses pemadaman kebakaran di jalankan.

" Kerjasama semua amatlah dihargai kerana semua pihak mengambil peranan masing - masing untuk memastikan keadaan terkawal dan kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya, " katanya.-UTUSAN ONLINE