Di PAHANG, 11 buah sekolah di negeri ini ditangguh ekoran banjir setelah hujan lebat berterusan sejak semalam.

Timbalan Pengarah Pendidikan negeri, Dr. Tajuddin Mohd. Yunus berkata, daripada jumlah itu, sembilan sekolah yang terlibat adalah di daerah ini dan masing-masing sebuah sekolah di Pekan dan Jerantut.

Sementara itu, sebanyak sembilan buah sekolah di Kelantan, Sarawak dan Terengganu turut ditutup hari ini akibat banjir.

Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P. Kamalanathan berkata, tiga buah sekolah di Kelantan yang ditutup ialah di Kuala Krai manakala di Sarawak membabitkan sebuah sekolah di Belaga dan dua di Subis manakala Terengganu membabitkan dua sekolah iaitu di Dungun dan satu di Kemaman.

“Setakat ini sembilan buah sekolah ditutup sementara akibat banjir dan akan dibuka semula setelah keadaan banjir mulai reda.

“Keputusan penutupan atau pembukaan semula sekolah ini dibuat oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri masing-masing bukan pihak sekolah,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan bangunan baharu Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Ladang Cairo, Mantin dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Pendidikan negeri, Pkharuddin Ghazali.

Kamalanathan memberitahu, semua Jabatan Pendidikan Negeri juga telah diminta bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir.

“Jabatan Pendidikan Negeri perlu memberi maklum balas kepada kementerian dari semasa ke semasa bagi memastikan semua prosedur diikuti dan dilaksanakan dengan cara yang terbaik,” ujarnya.

Mengulas mengenai sesi persekolahan yang tertangguh akibat penutupan sekolah, Kamalanathan berkata, sesi tersebut akan digantikan mengikut keperluan.