Antara yang terjejas ialah Jalan Tuanku Munawir di sini yang mengalami banjir kilat berikutan longkang tersumbat dan tidak mampu menampung jumlah air hujan.

Ini menyebabkan bahagian bawah stesen bas dan pusat beli-belah Terminal One yang terletak berhampiran turut dinaiki air dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Mohammad Idris berkata, banjir turut menyebabkan 20 kenderaan di tempat letak kereta bawah tanah di bangunan Wisma UMNO Negeri Sembilan ditenggelami air.

"Usaha mengeluarkan air menggunakan pam angkut giat sedang giat dijalankan bagi membolehkan semua kenderaan yang terlibat dialihkan," katanya, di sini hari ini.

Sementara itu, banjir turut berlaku di Taman Mutiara Galla 11 di sini apabila lima buah rumah dinaiki air setinggi kira-kira 0.3 meter, namun keadaan terkawal dan air telah surut.

Taman Sri Pulasan, Jalan Labu di sini juga dinaiki air namun pihak bomba mengesahkan tiada mangsa dipindahkan dari lokasi berkenaan. - UTUSAN ONLINE