Dalam kejadian kira-kira pukul 5.22 petang itu berlaku ketika mangsa, Dayang Sandora Datu Keram, 39, dan dua anaknya Muhammad Mikail Azman, 5, serta Dayang Puteri Solehah, 2, dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Sri Jintan, Chetok selepas beraya di Pengkalan Chepa.

Dayang Sandora yang bekerja sebagai pembantu kedai menjual alat pancing maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Dalam pada itu turut cedera, rakan baik mangsa Kamsiah Deraman, 47, dan empat anaknya yang berusia antara 18 sehingga empat tahun turut mengalami kecederaan. Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Ibrahim Saad berkata, berdasarkan siasatan awal, mangsa yang memandu kereta dengan tujuh orang penumpang dari arah Pasir Mas menghala ke Tanah Merah.

"Apabila sampai di tempat kejadian kenderaan itu dipercayai telah hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan.

"Ekoran daripada itu, berlaku pertembungan dengan pacuan empat roda yang ketika itu dari arah Tanah Merah ke Pasir Mas," katanya di sini hari ini.

Ibrahim memberitahu, kesan perlanggaran itu mengakibatkan mangsa maut di tempat kejadian.

Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.

Sementara itu, keluarga angkat mangsa, Muji Awang, 55, berkata, dua hari sebelum kejadian arwah ada bertandang ke rumahnya dan itu merupakan kali terakhir dia bertemu dengan Dayang Sandora.

"Jenazah Dayang Sandora akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Batu di sini selepas solat Zohor," katanya.

Difahamkan Dayang Sandora berasal dari Sabah dan suaminya merupakan seorang pesara tentera serta berasal dari Negeri Sembilan.