Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Mersing, Soleh Nasir berkata kejadian dilaporkan kepada pihaknya pada 4.38 petang tadi.

Susulan itu, beliau berkata lapan anggota bersama sebuah jentera serta satu Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (ERMS) dikerahkan ke lokasi kejadian untuk memadam kebakaran dan menyelamatkan mangsa.

"Kemalangan berlaku ketika kenderaan mangsa (Perodua Alza) dalam perjalanan dari Kluang ke Mersing sebelum terbabas dan melanggar lori dari arah bertentangan.

"Akibat pelanggaran itu, kedua-dua kenderaan terbakar dan mangsa tersepit dalam kenderaannya," kata beliau ketika dihubungi di sini.

Soleh berkata mayat mangsa yang masih belum diketahui identiti telah dikeluarkan dari kenderaan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Pemandu dan kelindan lori, kedua-duanya lelaki, masing-masing patah kaki dihantar ke Hospital Mersing untuk menerima rawatan, katanya. - BERNAMA