Dalam kejadian pada pukul 6 petang itu, Mohd. Azril Hamdi, 26, bersama tiga rakannya sedang beriadah di taman rekreasi tersebut pada ketinggian tingkat lapan air terjun berkenaan tiba-tiba tergelincir lalu terjatuh dan patah tulang pinggul.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat berkata, mangsa yang berasal dari Sabah itu jatuh pada ketinggian empat meter dan berjaya dibawa turun dari lokasi air terjun berkenaan pada pukul 10 malam.

“Pihak bomba mengambil masa yang lama untuk tiba di lokasi kejadian dan membawa keluar mangsa yang cedera.

“Keadaan ini berlaku kerana keadaan sekitar kawasan tersebut yang semak, licin dan tidak rata,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut jurucakap bomba lagi, pihaknya menerima panggilan pada pukul 7.23 malam dan sekumpulan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Rawang dikerahkan ke lokasi kejadian untuk tindakan lanjut.

“Mangsa diserahkan pada pihak ambulans untuk di bawa ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut,” ujarnya.

Jelas beliau, operasi menyelamat mangsa tamat pada pukul 11.25 malam selepas berjaya di bawa keluar pada pukul 10.20 malam. – UTUSAN ONLINE