Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Penguasa Bomba Mohamad Mustakim Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.29 petang sebelum tiba di lokasi kejadian 10 minit kemudian.

"Setibanya di lokasi didapati sebuah kereta Honda Civic bertembung dengan sebuah kereta Naza Citra yang mana masing-masing mempunyai empat dan lima mangsa dalam kenderaan berkenaan.

"Pihak bomba kemudian bertindak mengeluarkan pemandu kedua-dua kenderaan yang tersepit pada bahagian tempat duduk dengan menggunakan peralatan menyelamat," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurut Mohamad Mustakim, pemandu kereta Honda Civic berkenaan dilaporkan meninggal dunia manakala pemandu kereta Naza Citra mengalami kecederaan parah setelah tersepit dalam kenderaan itu yang remuk teruk.

"Kesemua mereka termasuk tujuh lagi penumpang kedua-dua kenderaan yang cedera telah dihantar ke Hospital Kulim untuk tindakan lanjut," ujarnya. - UTUSAN ONLINE