Dalam kejadian kira-kira pukul 8.10 pagi itu, mangsa, Thomas Inggol Unggau, 42, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, mangsa yang merupakan penumpang hadapan kereta jenis Proton Saga maut setelah mengalami kecederaan pada bahagian leher dan kaki.

Katanya, pemandu bersama seorang lagi penumpang kereta tersebut turut mengalami kecederaan, begitu juga dengan pemandu kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.

“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu lelaki berusia 34 tahun hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan Toyota Hilux.

“Rempuhan kuat antara dua kenderaan terbabit telah mengakibatkan kereta tersebut terbakar,” katanya ketika dihubungi pagi ini.

Mengulas lanjut, Alexson berkata, ketiga-tiga lelaki yang tersepit dalam kereta tersebut berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan bomba.

Katanya, pasukan bomba kemudian bertindak memadam kebakaran melibatkan kereta berkenaan, manakala mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Serian untuk tindakan selanjutnya. - UTUSAN ONLINE